Tazkirah : Pakaian Menutup Aurat Lindungi Wanita Islam
KEPESATAN ekonomi negara membawa rahmat dan rezeki yang melimpah ruah kepada seluruh masyarakat. Kepesatan ini menyediakan peluang pekerjaan yang begitu banyak kepada rakyat, termasuk wanita.
Tidak dinafikan, ramai wanita Islam yang bekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta. Bilangan ini semakin hari semakin bertambah dan tentulah mengundang pelbagai persoalan, terutama dari aspek berpakaian. Adakah sesuai atau tidak pakaian yang dipakai oleh wanita ketika bekerja iaitu dari sudut moral dan lebih-lebih lagi, dari sudut agama.
Dalam hubungan ini, Islam tidak mensyaratkan jenis, bentuk serta potongan pakaian tertentu yang seharusnya dipakai oleh seseorang wanita. Apa yang dikehendaki oleh agama adalah menutup aurat dan menjaga kesopanan serta kebersihan ketika bekerja.
Untuk itu, wanita yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah SWT, semestinya berasa terikat dengan peraturan dan hukum syarak. Mereka sentiasa sedaya upaya melakukan sesuatu yang diredai Allah SWT.
Pada masa ini, dapat dilihat pelbagai bentuk fesyen yang kebanyakannya masih mendedahkan aurat. Ia berpunca daripada tiadanya kesedaran atau kefahaman terhadap peraturan pakaian sebenar menurut Islam. Oleh itu, masih ada umat Islam yang tidak faham pengertian aurat itu sendiri.
Hakikatnya, dalam Islam tidak ada satu peraturan tertentu dalam menentukan jenis pakaian. Hanya ditetapkan bahawa aurat wanita adalah keseluruhan tubuh badannya, kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan hingga pergelangannya yang wajib ditutup.
Secara umumnya, dapatlah dikatakan bahawa perubahan fesyen pakaian wanita sekarang begitu berkembang luas. Perubahan ini mempengaruhi apa juga keadaan baik dalam keadaan bekerja atau pun tidak. Bagaimanapun, harus diingat bahawa Islam bukan agama yang sempit dan menyusahkan umatnya. Islam juga tidak menentang permodenan, tetapi biarlah menjurus ke arah yang betul dan tidak terkeluar daripada lunas hukum syarak.
Ada sebilangan orang berasa tidak moden atau tidak mengikut zaman, apabila mereka tidak mengikuti perkembangan fesyen. Pendapat ini sebenarnya tidak salah sekiranya dia berpendirian untuk menjaga ketentuan hukum syarak yang tidak boleh diabaikannya. Namun, apa yang menjadi masalah sekarang, ada yang mengikuti perubahan fesyen hanya memenuhi keinginannya semata-mata tanpa memahami batas aurat dalam Islam.
Dalam menjaga kesejahteraan umat, Islam meletakkan beberapa garis panduan etika berpakaian yang mesti dipatuhi. Antaranya mengharamkan mendedahkan aurat wanita Islam di hadapan orang yang bukan muhrimnya. Menutup aurat menurut pandangan Islam adalah berdasarkan syarat berikut:
1. Menutup seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua belah tangan.
Islam menentukan batas yang harus (boleh) dibuka iaitu muka dan dua tapak tangan, manakala bahagian lainnya pula wajib ditutup. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad saw) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak mereka atau anak tiri mereka atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba mereka atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah. Wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya."
[Surah an-Nur, ayat 30 - 31]
2. Berpakaian yang tidak membayangkan kulit dan bentuk tubuh.
Antara tujuan berpakaian menurut Islam untuk menutup atau melindungi bahagian tertentu pada badan. Tetapi, sekiranya wanita itu memakai pakaian nipis atau jarang hingga boleh dilihat warna kulitnya dan aurat yang sepatutnya ditutup, maka ini bererti pakaian yang dipakainya tidak berfungsi lagi.
Wanita yang berpakaian sebegini disifatkan oleh Rasulullah sebagai wanita berpakaian tetapi berbogel. Mereka bukan saja dilaknat oleh Allah, malah tidak berpeluang untuk mencium bau syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: "Akan ada pada akhir umatku (kaum wanita) yang berpakaian menutup badan dan telanjang (yang berpakaian nipis atau membayangkan kulit badan/bentuknya), atas kepala mereka, laknatilah mereka sesungguhnya mereka golongan yang terlaknat."
3. Tidak memakai pakaian yang ketat.
Antara tujuan menutup aurat untuk mengelak daripada berlakunya fitnah. Sekiranya wanita itu berpakaian ketat hingga jelas kelihatan potongan badan dan bahagian anggota tubuh badannya, maka keadaan ini boleh menimbulkan fitnah yang berakhir dengan pelbagai bentuk jenayah yang dikutuk oleh agama.
Antara tujuan menutup aurat untuk mengelak daripada berlakunya fitnah. Sekiranya wanita itu berpakaian ketat hingga jelas kelihatan potongan badan dan bahagian anggota tubuh badannya, maka keadaan ini boleh menimbulkan fitnah yang berakhir dengan pelbagai bentuk jenayah yang dikutuk oleh agama.
Usamah Bin Zaid menceritakan bahawa Rasulullah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Kalbi. Rasulullah menghadiahkan pula kain itu kepada beliau (Usamah) untuk dibuat pakaian, tetapi Usamah pula memberikan kain itu kepada isterinya. Suatu hari Rasulullah bertanya Usamah: "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab: "Aku telah berikannya kepada isteriku." Lalu Rasulullah berkata kepada Usa mah: "Suruhlah isterimu mengalaskan kain itu dengan kain yang lain di bawahnya kerana aku bimbang sekiranya kain itu tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)."
4. Tidak memakai bauan yang boleh menarik perhatian lelaki.
Abu Musa al-Asy'ari meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa juga wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan supaya dihidu bau wangi yang dipakainya, maka dia dikira berzina."
Zainab al-Thaqafiah pula menceritakan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Jika salah seorang daripada kamu (kaum wanita) keluar untuk beribadat di masjid, janganlah memakai bau-bauan."
Jika difahami maksud hadis itu, wanita yang hendak ke masjid pun dilarang memakai bau-bauan, apatah lagi bagi mereka yang keluar bersia, ke tempat kerja dan sebagainya. Sudah tentu kesalahannya di sisi agama lebih besar.
5. Pakaian yang tidak menyerupai pakaian lelaki.
Menurut hadis sahih daripada Rasulullah, dapat difahami bahawa Allah melaknat wanita yang meniru pakaian lelaki. Begitu juga lelaki yang meniru pakaian wanita.
Abu Hurairah meriwayatkan: "Rasulullah melaknat orang lelaki yang berpakaian perempuan dan orang perempuan yang berpakaian lelaki." Hal ini bersesuaian dengan sifat seorang wanita yang mana Islam menyarankan agar kaum wanita memakai pakaian yang sesuai dengan sifat dan kejadian mereka, lemah-lembut dan bersopan-santun.
Kesimpulannya, Islam mewajibkan ke atas setiap wanita supaya memakai pakaian yang menutup aurat iaitu menutup seluruh badannya, kecuali muka dan dua belah tangan. Mereka juga hendaklah memilih jenis kain yang tidak membayangkan warna kulit dan tidak juga memperlihatkan bentuk tubuh badan. Begitu juga dilarang ke atas mereka untuk menghiasi pakaiannya dengan hiasan dan bau-bauan yang boleh mempesona atau menarik perhatian ramai dan menimbulkan fitnah.
Sesungguhnya, Islam tidak menentukan fesyen dan bentuk pakaian yang mesti dipakai oleh seseorang wanita itu sama ada pada masa bekerja atau tidak. Apa yang penting ia tidak berlawanan dengan batas yang ditentukan syarak.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home