Wednesday, April 05, 2006

Kemusykilan Agama : Lelaki Perempuan Haram Onani


SOALAN:
SAYA seorang pelajar yang tidak arif dalam agama. Di sini saya ada permasalahan yang membuatkan saya buntu.
1. Pada Ramadan yang lalu, saya bermimpi basah dan terjaga selepas Subuh, kemudian saya melakukan onani. Apakah hukumnya?
2. Seorang kawan perempuan saya melakukan onani pada malam hari pada Ramadan. Dia berniat untuk mandi sebelum Subuh tetapi dia tertidur sehingga selepas Subuh. Apakah hukumnya?
3. Bagaimana hendak elakkan dari terus melakukan onani?
PELAJAR BUNTU,
Melalui emel
JAWAPAN 1: Onani adalah amalan untuk memuaskan nafsu seks secara sendiri, luar dari yang diharuskan syariat. Lelaki yang mengeluarkan air maninya dengan tangannya sendiri adalah haram kerana kesan dari perbuatannya itu menyebabkan kesihatan masa depannya terjejas.
Begitu juga dengan perempuan, mereka yang memuaskan nafsu seksnya dengan memasukkan sesuatu dalam farajnya boleh merosakkan masa depannya. Perbuatan ini diharamkan secara khusus kepada mereka yang belum berkahwin dan mereka yang bergelar duda dan janda.
Mereka yang secara istiqamah melakukan perbuatan ini dibimbangi akan menerima kesan negatif sebelum berkahwin atau sesudah berkahwin. Di antara akibat yang boleh terjadi ialah menjadikan diri seseorang itu mandul atau mati pucuk untuk jangka masa panjang iaitu sebelum tempoh masa yang sepatutnya.
Apa yang perlu anda lakukan ialah bertaubat kepada Allah SWT dan berazam tidak mahu mengulanginya lagi di samping wajib mengqadakan puasa kerana puasa anda sudah terbatal.
JAWAPAN 2: Perbuatan melakukan perkara ini hukumnya haram dan berdosa. Puasanya sah kerana seseorang itu tidak dilarang berpuasa walaupun dirinya dalam keadaan berhadas besar pada waktu terbit matahari tetapi ia wajib bersuci selepas itu.
JAWAPAN 3: Sebagai manusia biasa seseorang itu cenderung kepada mengikut hawa nafsunya lebih-lebih lagi pemuda dan pemudi. Oleh itu, Islam menggariskan penyelesaian kepada penganutnya yang ditimpa kelemahan, digoda hawa nafsu atau dikuasai oleh syahwat. Apabila ia mengambil penyelesaian terbabit ia akan menjadi seorang insan yang suci bersih, bertaqwa dan salih.
Jalan penyelesaian yang dimaksudkan ialah:
a) Mempertingkatkan keimanan. Seseorang itu perlu meyakini bahawa Allah SWT sentiasa bersamanya, mendengar dan melihat perbuatannya. Dengan keyakinan ini seorang mukmin akan bebas dari kongkongan hawa nafsu dan godaan syaitan.
b) Memenuhi masa lapang dengan sesuatu yang bermanfaat. Penuhilah masa anda dengan aktiviti-aktiviti seperti bersukan, menghadiri kelas pengajian kerana mengikut pakar jiwa dan pendidikan menegaskan apabila seseorang bersendirian di waktu lapangnya ia akan didatangi oleh berbagai khayalan, gelora hawa nafsu dan memikirkan tentang seks yang memberangsangkan. Nafsunya akan bergelora dan kadang-kadang ia akan terjatuh ke lembah yang dilarang oleh agama.
c) Bersahabat dengan orang-orang yang baik ini adalah cara yang paling berkesan di dalam memperbaiki diri dan mempertingkatkan ketaqwaan kerana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jangan engkau bersahabat kecuali dengan orang yang beriman dan jangan memakan makanan engkau kecuali orang yang bertaqwa".
Satu kenyataan yang diakui apabila seseorang bersahabat dengan orang yang baik-baik ia akan mendapat kebaikan sebaliknya sekiranya ia bersahabat dengan orang yang fasik, derhaka ia juga akan terpengaruh seperti mereka.
Inilah yang diingatkan oleh Nabi SAW maksudnya: "Seseorang itu berada di atas agama sahabatnya maka setiap kamu hendaklah melihat siapakah yang hendak dijadikan sahabat".
Sebuah syair Arab ada menyebut "Jangan kamu bertanya tentang seseorang tetapi tanyalah tentang kawannya, setiap kawan akan mengambil contoh teladan dari kawannya".

~Azhan Hj. Abdul~

0 Comments:

Post a Comment

<< Home