Keluarga : Menyatakan Kasih Sayang kepada Isteri
Adalah fitrah wanita, dia berasa dirinya sangat dikasihi oleh suaminya apabila dia menerima dukungan emosi dan juga bantuan fizikal daripada suami disebabkan fitrah mereka yang amat memerlukan kedua-dua dukungan tersebut daripada lelaki. Bagi wanita yang penting bukanlah apa yang diterima daripada suaminya. Bagi wanita yang penting ialah, walau apa sekalipun yang diberikan oleh suaminya perkara itu diberikan secara berterusan.
Ini disebabkan bagi wanita apabila dia menerima sesuatu secara berterusan daripada suaminya, maka dia yakin bahawa kasih sayang suaminya konsisten, iaitu sentiasa berterusan dan tidak pernah putus-putus. Ada kalanya lelaki memberikan perkara-perkara besar kepada isterinya, seperti sekali-sekali dia membawa isterinya berjalan-jalan ke tempat yang jauh-jauh dan berbelanja.
Tujuan lelaki berbuat begitu ialah kerana dia hendak menyukakan hati isterinya supaya dia betul-betul puas. Tetapi selepas memberikan benda-benda besar itu, berminggu-minggu kemudian si suami seolah-olah macam terlupa kepada isterinya dan hanya ingat kepada tugas-tugas rasmi dan tanggungjawab perjuangannya sahaja.
Ada pula masanya lelaki cuba memberi kepuasan kepada isteri dengan memberikan benda yang besar-besar dan mahal-mahal sekaligus. Mereka berbuat begitu dengan niat yang baik, iaitu hendak memuaskan hati si isteri, sayangnya mereka tidak faham sifat wanita. Sebenarnya, wanita cuma mahukan perkara-perkara yang murah dan mudah daripada suaminya, tetapi wanita mahukan perkara-perkara itu diberikan kepadanya secara berterusan.
Dr. John Gray, seorang pakar perhubungan rumahtangga di Amerika mengesyorkan beberapa jenis perkara-perkara kecil yang boleh membuat wanita berasa dirinya dikasihi, di antaranya:
1. Sekali-sekala belikan isteri saudara itu buah tangan, walaupun saudara tidak pergi ke mana-mana. Ramai lelaki membeli buah tangan untuk isteri apabila mereka pergi jauh dan lama pula. Buah tangan seperti itu tidak berapa memuaskan hati isteri kerana ia boleh diramalkan. Pemberian yang amat memuaskan hati isteri ialah pemberian yang dia langsung tidak sangka akan menerimanya pada hari itu.
2. Sekali-sekali pujilah pakaian yang dipakai oleh isteri. Lelaki lazimnya suka memuji pakaian wanita sewaktu mereka masih belum berkahwin. Semakin lama mereka berkahwin semakin jarang mereka memuji pakaian isteri. Pujian jenis ini amat menyukakan hati mana-mana wanita.
3. Ambil tahu apa makanan yang isteri saudara sukai. Lazimnya, isteri-isteri amat mengambil berat makanan yang digemari oleh suami, tetapi tidak sebaliknya. Isteri saya sangat suka buah salak, dan setiap kali saya nampak buah salak, saya belikan untuknya. Saya sendiri tidak suka buah itu. Hingga hari ini, buah hodoh itu belum pernah gagal membuat isteri saya seronok menerimanya.
4. Pandanglah muka isteri saudara apabila bercakap-cakap dengannya. Tingkah-laku ini menjadi ciri tingkah-laku pasangan yang sedang berkasih-kasihan, tetapi semakin lama selepas berkahwin, kita cenderung semakin kurang melakukan perbuatan ini. Wanita berasa romantis apabila orang yang dikasihinya bercakap dengan memandang matanya.
5. Dengarlah isteri saudara bercakap sampai dia puas bercakap dan berhenti sendiri. Perbuatan ini amat memenuhi keperluan psikologi wanita. Tetapi, kebanyakan lelaki tidak berapa sabar hendak mendengar isteri mereka bercakap panjang-panjang mencurahkan apa yang ada dalam dada mereka.
6. Apabila nampak isteri saudara sedang risau, bermasalah ataupun bersedih, ajaklah dia bercakap-cakap mengenai perasaannya itu. Tetapi jangan pula saudara beri dia nasihat supaya jangan risau ataupun bersedih. Dan jangan cepat-cepat beritahu dia cara bagaimana masalahnya itu patut diselesaikan. Kesilapan begini sering dilakukan oleh lelaki.
7. Apabila saudara nampak dia penat, tolong dia sedikit sebanyak. Inilah antara perkara kecil tetapi yang amat menyukakan hati wanita.
8. Jangan lupa telefon isteri saudara awal-awal apabila saudara mungkin balik lambat balik.
Perbuatan-perbuatan di atas adalah cara-cara yang mudah dan murah untuk saudara menyatakan kasih sayang saudara kepada isteri. Dengan melakukan perkara-perkara di atas isteri saudara akan selalu berasa puas hati dengan layanan saudara mahupun dengan perhubungan antara saudara berdua. Baginya, apa yang saudara buat itu sebenarnya memberitahu kepadanya bahawa saudara menyayanginya, bahawa saudara tahu apa yang menjadi kesukaannya, dan saudara suka menolongnya.
Apabila saudara membuat sesuatu untuk isteri saudara dengan tidak payah diminta, dia berasa dirinya sangat saudara kasihi. Apabila saudara menolong dia mencuci pinggan, isteri saudara berasa saudara seorang yang sangat bertimbang rasa kepadanya. Dengan cara begini, saudara boleh membuat dia berasa romantik. Apabila saudara tahu mood isteri saudara baik, saudara sendiri berasa yakin bahawa saudara seorang lelaki yang pandai melayan isteri. Hasilnya, saudara berasa bahagia.
Apabila seseorang suami duduk menghadap tv dan melihat sahaja isterinya mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk dan periuk belanga, barangkali si suami itu berasa relaks dan berterima kasih kerana isterinya tidak menyusahkan dia. Tetapi, perbuatan si suami itu tidak membuat hati isterinya berasa romantik. Wajah si isteri yang begitu tidak memarakkan emosi romantik di hati si suami. Emosi romantik wanita menggebu-gebu apabila sahaja dia tahu bahawa dirinya sungguh istimewa. Perasaan itu menyuburkan nafsu ghairahnya. Tidak ada yang lebih menyuburkan ghairah wanita melainkan tingkah-laku suaminya yang memberitahu bahawa hanya dirinya seorang sahaja yang diingini oleh suaminya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home